Pengenalan
Darul Kautsar adalah Pusat Pengajian Al-Quran dan Ilmu-Ilmu Islam yang mengutamakan pengamalan al-Quran dan as-Sunnah dalam kehidupan seharian. Kewujudan institusi ini bertujuan untuk melahirkan generasi cendekiawan Islam yang berkemampuan tinggi untuk memikul tugas dan tanggungjawab dakwah di alaf baru yang semakin mencabar serta mendidik dan melahirkan modal insan yang berwibawa dan beretika tinggi.
VISI
Menjana generasi yang memahami kandungan al-Quran dan al-Hadith serta beramal berdasarkan sumber yang tulen dan sahih di samping berkemampuan menyebarkan fakta- fakta yang benar kepada masyarakat.
MISI
Melahirkan generasi huffaz yang mahir, berketerampilan dan beramal dengan isi kandungan al-Quran, sekaligus sebagai al-Quran bergerak;
Melahirkan generasi rabbani yang berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah;
Membetulkan sebarang penyelewengan fakta yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam;
Melahirkan sarjana Islam yang dapat memahami al-Quran dan al-Hadis seperti yang
dikehendaki oleh Allah dan RasulNya.
PERKEMBANGAN
Maulana Muhammad Asri Yusoff telah mula menyampaikan kuliah-kuliah ilmu agama kepada sekumpulan pelajar sejak 1986 di kediamannya sendiri. Dengan bertambahnya jumlah pelajar dan minat masyarakat terhadap sistem pendidikan yang dikemukakan oleh beliau, Pusat Pengajian Al-Quran Darul Kautsar (PPADK) telah ditubuhkan pada 1993 di Taman Sri Demit, Kubang Kerian, Kelantan dengan menyewa beberapa lot rumah di kawasan itu. Setelah 17 tahun menyewa di kawasan perumahan tersebut, pada 1 Mei 2010, PPADK telah berpindah ke bangunan sendiri di Lot 972, Jalan Teratak Pulai, Kampung Kuchelong, Jelawat, 16030 Bachok, Kelantan. Berkat hasil bantuan daripada orang ramai, fasa pertama pembinaan yang terdiri daripada sebuah blok akademik dan sebuah masjid telah berjaya disiapkan di tanah tersebut.